Saturday, July 4, 2009

FAM SUDAH LULUSKAN

FAM sudah luluskan

Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

KELANTANGANNYA mencetuskan pertikaian dengan menyamakan padang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan padang ragut mengakibatkan jurulatih Kelantan, Peter Butler kini bersendirian bagi mempertahankan kenyataan itu.

Selepas dikecam hebat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), kini Butler terpaksa melalui hari-hari penuh keperitan apabila Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menepis tohmahan dilemparkan bekas pemain tengah kelab Inggeris itu.

Untuk melengkapkan jawapan kepada pertikaian dibuat Butler, FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad menghuraikan satu persatu mengapa stadium berkenaan dipilih sebagai gelanggang utama Terengganu bagi saingan Liga-M.

“Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal FAM sudah membuat keputusan menetapkan gelanggang stadium itu sebagai tuan rumah buat Terengganu. Sebelum keputusan dibuat, kami sudah membuat beberapa ketetapan atau kriteria bagi memilih sebarang venue.



“Dalam konteks ini, soal padang tidak timbul kerana kita sudah membuat tinjauan mendapati ia menepati standard di Malaysia. Kita turut melihat di segi keselamatan dan stadium itu nampaknya, tiada masalah untuk tidak dijadikan gelanggang baru.

“Satu perkara lagi bahawa kita buat keputusan itu kerana gelanggang asal (Stadium Sultan Mizan) sedang dibaik pulih ekoran kejadian bumbung runtuh, bulan lalu. Di Terengganu, satu-satunya gelanggang yang ada adalah stadium berkenaan,” katanya.

Azzuddin berkata apa yang dikatakan Butler boleh dianggap pandangan seseorang jurulatih yang tewas sesuatu perlawanan.

“Sudah biasa kedengaran masalah ini dan bagi saya sering berlaku ke atas mana-mana pasukan sekiranya mereka tewas,” katanya yang mungkin membawa masalah ini pada mesyuarat teknikal minggu depan.

No comments:

Post a Comment